Sunday, 6 September 2015

Bulan Kebangsaan disambut meriah oleh masyarakat luar bandar

Oleh Rita

SOOK: Sambutan Bulan Kemerdekaan terus disemarakkan di kawasan luar bandar bagi meningkatkan lagi semangat patriotisma dan nasionalisme di kalangan rakyat di negeri ini.

     Terbaharu Daerah Kecil Sook turut meraihkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Kecil Sook. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

     Berucap merasmikan sambutan tersebut di perkarangan pejabat daerah kecil sook, Tan Sri Joseph Kurup mengajak rakyat untuk menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini  hasil perjuangan nenek moyang dan pemimpin terdahulu.

     Katanya, keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini akan hilang sekelip mata sekiranya anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab bermaharajalela seperti demonstrasi jalanan yang amat bertentangan dengan budaya perpaduan di negara ini.

     Beliau turut menegaskan khususnya para belia agar tidak terlibat dengan budaya-budaya demonstrasi jalanan yang mampu merosakkan imej, kerier dan masa depan negara.

     Mengenai perkembangan pemindahan lokasi batu sumpah keningau Tan Sri Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan telah memutuskan tapak baharu batu sumpah akan diletakkan di kawasan tanah lapang berhampiran pejabat tanah dan ukur keningau.

     Jelas beliau, projek ini juga melibatkan plak batu sumpah yang akan meletakkan semula perkataan “kerajaan Malaysia jamin” . Pemindahan Batu Sumpah ini dengan pengembalian perkataan keramat “kerajaan Malaysia Jamin” sekaligus akan memastikan nilai sejarah batu sumpah dalam pembentukan Malaysia.

     Seramai 26 kontinjen yang terdiri daripada pasukan beruniform sekolah menengan dan rendah, agensi-agensi kerajaan negeri, dan wakil-wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan RELA menyertai perbarisan itu.

No comments:

Post a Comment