Thursday, 10 September 2015

JKKK dan JKDB diseru untuk terus berdaya saing

Oleh Hector Zaimit

KENINGAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) diajak untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang seiring dengan tuntutan dan kehendak semasa supaya terus berdaya saing dalam pengurusan seharian.

     Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Radin Malleh berkata, pengetahuan itu penting bagi memastikan JKK dan JKDB dapat melaksanakan peranan selaras dengan tanggungjawab untuk mentadbir kawasan mereka.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus Pengurusan dan Pentabiran JKKK/JKDB Kawasan Bingkor di Keningau.


Datuk Radin Malleh

     Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Nilwan Kabang.
Mengenai Kursus itu Datuk Radin berkata program dianjurkan kementeriannya bertujuan memberi latihan induksi wajib dihadiri oleh semua pengerusi serta setiausaha JKKK dan JKDB yang baharu dilantik.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang telah diberikan kepercayaan supaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan ikhlas dan penuh integriti bagi memastikan ia terus relevan sekali gus dihormati semua pihak.

     Tambahnya, kepimpinan JKKK dan JKDB perlu menjadualkan mesyuarat bulanan secara berkala bagi memastikan isu-isu atau cadangan yang dikemukakan oleh rakyat dapat diteliti dan diambil tindakan lanjut.

    Terdahulu berucap pada majlis tersebut, Pegawai Daerah Keningau,Haji Yusop Osman berkata JKKK dan JKDB yang dilantik perlu proaktif dalam melaksanakan tugas mereka agar kemajuan kampung terus terjamin.

     Katanya, menjadi kewajiban untuk kepimpinan kampung, mengemas kini profil kampung bagi memudahkan penyaluran bantuan  disalurkan dan dilaksanakan.

    Jelas Yusop, kegagalan JKKK memperbaharui dan mengemas kini profil kampung menimbulkan kesukaran terutama kepada pihaknya dan wakil rakyat untuk menyalurkan pembangunan berikutan ketiadaan maklumat lengkap.

     Beliau berharap menerusi program yang dianjurkan dijadikan medan transformasi ilmu dan sesi percambahan idea bagi mempertingkatkan kecekapan diri dalam proses pengurusan dan penyelesaian masalah diperingkat kampung.

No comments:

Post a Comment