Monday, 10 August 2015

Aplikasi THiJARI memudahkan pelanggan Tabung Haji

         Orang ramai kini boleh mendapatkan pelbagai maklumat terutama sekali mengenai urusan haji hanya di hujung jari.
         Dengan hanya memuat turun aplikasi yang diperkenalkan oleh Lembaga Tabung Haji iaitu THiJARI maka pelbagai maklumat boleh diperoleh termasuklah mengenai Tabung Haji, urusan Haji dan apa-apa maklumat berkaitan.
         Pengurus Pusat Perkhidmatan Tabung Haji Keningau Zalani Bin Mohamed berkata, orang ramai boleh memuat turun aplikasi tersebut melalui play store untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Tabung Haji tanpa perlu datang ke kaunter semata-mata untuk mendapatkan maklumat yang asas mengenai urusan Haji.
         Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita RTM sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri Lembaga Tabung Haji cawangan Keningau 2015.
         Bercakap mengenai majlis tersebut Zalani memberitahu ia diadakan untuk mendekatkan lagi Tabung Haji dengan Masyarakat disamping menyampaikan informasi mereka mengenai kewujudan Tabung Haji di Keningau.
        Tambah Zalani pusat Perkhidmatan Tabung Haji di Keningau sebenarnya telah dibuka sejak 23 Januari 2015 dan antara perkhidmatan yang diadakan iaitu perkhidmatan pendaftaran Haji, kemaskini akaun Tabung Haji, pertukaran maklumat ahli, urusan borang penamaan dan sebagainya.
        Pejabat Tabung Haji Keningau terletak di Pusat Komersil Datun di Jalan Masak Keningau.

No comments:

Post a Comment