Friday, 14 August 2015

SEGMEN RIMBAI KASAGAAN KENINGAU FM : MEMACU LAGU-LAGU TEMPATAN KEPADA PENDENGAR

Oleh: Ardi Erin

Banyaknya bakat terpendam selain kesungguhan menghasilkan lagu-lagu tempatan khususnya dalam bahasa Murut untuk siaran di Keningau fm secara tidak langsung menonjolkan ramai pencipta dan penyanyi baharu sekitar Pedalaman Sabah.

Lagu-lagu yang dihasilkan pada masa kini semakin lama semakin meningkat kualitinya dan mendapat tempat di kalangan pendengar.

Justeru, Stesen Radio Keningau fm mengambil inisiatif untuk mewujudkan rancangan carta lagu khusus dalam bahasa Murut dikenali 'Rimbai Kasagaan Nu Murut' bagi menyusun 10 lagu terbaik dan kegemaran pendengar. Disiarkan setiap Ahad, pukul 1.10 petang, rancangan pada masa ini diterbitkan oleh Penyampai Dullis Simon.

Lagu-lagu yang telah diluluskan oleh panel dalaman RTM Sabah ini akan dimasukkan di dalam carta sekiranya terdapat banyak permintaan terhadap lagu berkenaan oleh pendengar.

Berkonsepkan undian SMS pendengar, setiap lagu-lagu yang ditempatkan dalam carta ini akan bersaing setiap minggu, apabila ada lagu baharu diperkenalkan, salah satu lagu yang paling tercorot mendapat undian SMS akan tersingkir manakala lagu mendapat undian terbanyak akan menjuarai carta.

Undian pendengar juga akan menentukan sama ada lagu tersebut kekal dalam carta selain kedudukan lagu meningkat ataupun jatuh anak tangga dalam carta tersebut.

Bagi 5 lagu yang paling popular atau kerap kali menjuarai carta 'Rimbai Kasagaan Nu Murut' untuk tempoh sepanjang tahun pula akan diangkat oleh Keningau fm di tahun hadapannya untuk bertanding menerusi Pertandingan Akhir Carta Keningau fm (kategori bahasa Murut) yang diadakan setiap tahun.

Pengiktirafan ini sekaligus membolehkan pencipta dan penyanyi menilai balik pencapaian masing-masing sekaligus memacu peningkatan kualiti lagu tempatan ke arah yang lebih baik dan dapat diterima oleh masyarakat luar.

Diolah semula oleh: Razali Haji Baba

Ardi Erin... Pelajar praktikal Keningau fm.


No comments:

Post a Comment