Wednesday, 26 August 2015

UMS kenalpasti 15 bekas pelajar tingkatan 6 terima bantuan lanjut pelajaran

Oleh Nazihah Yuhimin

KENINGAU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengenalpasti 15 bekas pelajar tingkatan enam sekitar daerah Keningau layak menerima bantuan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam tahun 2015.

     Penolong Pendaftar UMS Herman Salah berkata program itu diadakan adalah bagi memberi galakan serta mengubah masa depan pelajar-pelajar yang berada di kawasan luar bandar dari segi akademik.

     Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Surat Tawaran Bagi Isi Rumah 40-Peratus Terendah ke IPTA Bahagian Keningau Sesi 2015/2016 di Bilik Gerakan SMK Keningau 2 di Keningau.

Herman Salah (duduk kiri) ketika bersama-sama dengan Datuk Hj. Sairin Karno semasa di dalam majlis tersebut

     Katanya, syarat untuk menerima bantuan itu ialah sekurang-kurangnya pelajar tersebut perlu memperolehi cgpa 2.0 keatas dalam STPM,  pendapatan isi rumah  dibawah 40-peratus dan tinggal di kawasan luar bandar.

     Majlis tersebut telah disampaikan oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Hj Sairin Hj Karno.

     Terdahulu berucap pada Majlis tersebut, Datuk Hj Sairin Hj Karno yang juga Wakil Rakyat Liawan berkata dengan program bantuan seperti itu ianya mampu memberi peluang kepada pelajar yang berkelayakan namun kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat pengajian tinggi.

     Pada masa yang sama beliau juga berharap agar pihak UMS dapat memperbanyakkan lagi jumlah pelajar untuk menerima bantuan tersebut bagi memberi mereka peluang dalam mengubah masa depan mereka dengan lebih cerah.

     Sementara itu  salah seorang penerima bantuan Elzye Veceny Sambutin yang berasal dari Kg Kepayan Baru Apin- Apin  berkata beliau sangat gembira dengan peluang yang diberikan oleh pihak UMS kepadanya dan akan mengambil peluang sebaiknya bagi memperbaiki kehidupan keluarganya .Beliau telah ditawarkan melanjutkan pengajian Pengurusan Kewangan dan Perbankan.

     Manakala Ricky Rapasil bekas pelajar SMK Keningau 2 yang berasal dari KG Jaya Baru berkata beliau tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya dan akan lebih fokus dalam mempertingkatkan lagi akademik dengan lebih cemerlang.

No comments:

Post a Comment