Monday, 10 August 2015

Projek pembangunan padang ragut Kampung Kuangoh mula membuahkan hasil

Projek pembangunan padang ragut Kampung Kuangoh, Keningau  yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHT) Sabah mula mengeluarkan hasil kepada penduduk di kampung tersebut.

Projek yang dimulakan pada 2009 dikawasan tanah seluas 15 hektar itu  kini memiliki  37 ekor lembu yang diternak penduduk kampung.

Pengarah JPHT Sabah, Dr. Yeo Boon Kiat berkata, sejak dilaksanakan, jabatan itu telah memperuntukkan lebih 157-ribu ringgit dengan peruntukan 30-ribu ringgit setahun.

Peruntukan tersebut digunakan untuk pembersihan kawasan padang ragut, bantuan pagar dan dawai, penanaman rumput, pembinaan kawasan takungan air,  jalan masuk ke kawasan padang ragut serta kemudahan infastruktur lain.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan projek pembangunan Padang Ragut Kampung Kuangoh, Keningau kepada wakil jawatankuasa padang ragut kampung tersebut yang juga penolong pegawai daerah Keningau,  Ahmad Haji SUnoh.

Dr. Yeo berkata, walaupun padang ragut ini tidak besar, namun ia amat penting kepada JPHT dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan menambah pengeluaran ternakan ruminan khususnya ternakan lembu. Ini kerana tahap pengeluaran ternakan ruminan di Sabah masih berada pada tahap rendah dan tidak mencukupi.

Beliau berharap dengan penyerahan projek tersebut kepada pemegang amanah padang ragut tersebut, penduduk kampung dapat meningkatkan lagi tahap kecekapan ternakan lembu.

Dr. Yeo turut menyarankan penduduk supaya memanfaatkan kawasan padang ragut itu dengan hasil pengeluaran lain yang  boleh mengeluarkan hasil.

No comments:

Post a Comment