Friday, 14 August 2015

SEGMEN 'MINSINGILO KOUBASANAN' DI KENINGAU FM PAMER KEBUDAYAAN TRADISI ETNIK DUSUN.

Oleh: LeoLerry Lajius

          Berperanan sebagai wadah budaya masyarakat tempatan sememangnya Keningau fm memikul tanggungjawab tersebut dengan penyediaan pelbagai rancangan yang menarik.

         Antara rancangan dalam bahasa Dusun yang telah diterbitkan adalah rancangan 'Minsingilo Koubasanan' disiarkan setiap hari Rabu pukul 11.15 pagi.

         Diterbitkan Penyampai Norlelah Sadi, rancangan 'Minsingilo Koubasanan' atau 'Kebiasaan Amalan Tradisi' ini akan memberikan penerangan dan panduan kepada pendengar mengenai adat resam, kebudayaan, kepercayaan, makanan tradisi selain sejarah dan asal usul adat tersebut.

         Format rancangan rakaman ini akan menyelusuri segenap pelusuk penempatan masyarakat dusun untuk bertemu dengan pakar ataupun orang lama bagi menerangkan sesuatu adat dan budaya tradisi mengikut susunan penerbit. Ini disebabkan hampir keseluruhan pakar atau orang lama tersebut sukar untuk hadir ke studio untuk ditemuramah selain memudahkan mereka menunjukkan demonstrasi amalan adat tradisi tersebut bagi memberikan kefahaman yang lebih tepat kepada penerbit.

         Kebiasaannya amalan tradisi ini juga sering berkait dengan persekitaran tempat tinggal mereka, justeru kunjungan daripada penerbit ke lokasi adalah penting khusus mendapatkan bahan yang berkualiti selain boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.

         Sekiranya terdapat kesesuaian, penerbit juga boleh menjemput pakar berkenaan untuk hadir di studio radio Keningau fm untuk melakukan rakaman yang lebih berkualiti khususnya melibatkan alat muzik, sajak ataupun syair tradisional yang diwarisi sejak nenek moyang lagi.

        Kurangnya minat di kalangan belia untuk mewarisi seni budaya tersebut sememangnya boleh melenyapkan khazanah tersebut dan Keningau fm mengambil tanggungjawab tersebut dengan menjadikan 'Minsingilo Koubasanan' selain hiburan kepada pendengar.


Diolah semula oleh: Razali Haji Baba

LeoLerry Lajius... Pelajar praktikal Keningau fm


No comments:

Post a Comment